Monday 24 June 2013

Perkongsian Ilmu

~Perkongsian Ilmu Ya Ramadhan~


Muqaddimah

Itulah indahnya Islam apabila seseorang wanita hamil atau menyusukan anak diberi keringanan (rukhsah) daripada kewajipan berpuasa jika dibimbangi akan memudaratkan dirinya dan anaknya. Hukum ini bersumber daripada satu hadis Rasulullah S.A.W.

Dalam satu riwayat dari Anas bin Malik al-Ka’bi, dia berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya Allah Tabaraka wa Ta’ala menggugurkan (meringankan) setengah hari beban solat ke atas orang yang bermusafir, menggugurkan (memberi rukhsah) ke atas wanita yang hamil dan menyusukan anak akan kewajipan berpuasa” [HR at-Tirmidzi, an-Nasa’i, Abu Dawud, Ibnu Majah. Sanadnya hassan sebagaimana pernyataan at-Tirmidzi].

Dalam hal rukhsah ini, tidak ada perbezaan pendapat di antara para ulama’. Ulama’ cuma berbeza pendapat pada persoalan adakah cukup dengan membayar fidyah sahaja atau wajib juga mengganti (qadha’) setiap hari yang ditinggalkan.

Wajib Qadha’ Puasa atau Tidak?

Membayar fidyah bererti memberi makan kepada orang miskin, kerana tidak berpuasa disebabkan perkara-perkara yang dibolehkan oleh Allah. Allah S.W.T berfirman,

…Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (yaitu) memberi makan seorang miskin[TMQ al-Baqarah (2): 184].

Umum mengetahui pendapat empat Mazhab seperti berikut:


Madzhab Maliki dan Hanafi:

Wanita hamil dan menyusui jika berbuka, kelak wajib mengqadha’nya. Tidak perlu berturut-turut ketika mengqadha’nya. Ulama’ Maliki menambah, wanita menyusui diwajibkan membayar fidyah, sedangkan wanita hamil tidak.

Madzhab Hanbali dan Syafi’i:

Wanita hamil dan menyusui yang berbuka puasa, kelak wajib mengqadha’nya tanpa membayar fidyah. Tetapi jika kekhawatirannya itu tertuju kepada diri anaknya sahaja, maka selain qadha juga wajib fidyah.

Walaubagaimanapun, berdasarkan ayat di atas [TMQ al-Baqarah (2): 184], hukumnya adalah wajib membayar fidyah kepada orang miskin bagi orang-orang yang tidak mampu mengerjakan puasa.

Ibn ‘Abbas berkata, “Ayat ini walaupun dimansukhkan, namun hukumnya tetap untuk orang yang sangat tua, lelaki atau perempuan, yang tidak mampu berpuasa, maka ia harus memberi makan seorang miskin setiap harinya[HR Bukhari].

Diriwayatkan dari ‘Ikrimah bahwa Ibnu Abbas berkata, “Ayat tersebut diberlakukan bagi wanita hamil dan yang sedang menyusui.

Jadi, wanita hamil dan menyusu hanya wajib membayar fidyah tetapi tidak wajib mengqadha’ puasa. Ini dikuatkan lagi dengan hadis-hadis berikut:

Ucapan Ibnu Abbas : “Wanita yang hamil dan wanita yang menyusui apabila khawatir atas kesihatan anak-anak mereka, maka boleh tidak puasa dan cukup membayar fidyah memberi makan orang miskin” [HR Abu Dawud].

Diriwayatkan dari Nafi’ dari Ibnu Umar, bahawa sesungguhnya isterinya bertanya kepadanya (tentang puasa Ramadhan), sedang ia dalam keadaan hamil. Maka ia menjawab, “Berbukalah dan berilah makan sehari seorang miskin dan tidak usah mengqadha’ puasa” [HR Baihaqi].

Diriwayatkan dari Sa’id bin Abi ‘Urwah dari Ibnu Abbas beliau berkata: “Apabila seorang wanita hamil khawatir akan kesihatan dirinya dan wanita yang menyusui khawatir akan kesihatan anaknya jika puasa Ramadhan”. Beliau berkata: “Keduanya boleh berbuka (tidak puasa) dan harus memberi makan  sehari seorang miskin dan tidak perlu mengqadha’ puasa” [HR ath-Thabari dengan sanad shahih di atas syarat Muslim, kitab al-Irwa jilid IV hal 19].

Berapa Jumlah yang Wajib Dibayar?

Membayar fidyah adalah dengan takaran sebanyak 1 mud berdasarkan sebuah riwayat dari Ibn Abbas,

Barangsiapa telah sangat tua yang tidak sanggup berpuasa Ramadhan, maka ia memberi fidyah sehari sebanyak 1 mud gandum[HR Bukhari]. Riwayat senada dikeluarkan oleh Imam al-Baihaqi dari sahabat Ibnu Umar.

Mud adalah ukuran takaran (bukan berat) yang setara dengan berat 544 gram gandum (al-qamhu). [Abdul Qadim Zallum, al-Amwal fi Daulah al-Khilafah, hal. 62]. Oleh yang demikian, jika meninggalkan puasa selama sehari, wajib membayar fidyah sebanyak 1 mud, jika 2 hari wajib 2 mud dan seterusnya.

Menurut jumhur ulama’, fidyah dibayarkan dalam bentuk makanan ruji pada suatu negeri (ghaalibu quut a-balad) [Wahbah az-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, II/687]. Memandangkan makanan ruji rakyat Malaysia adalah beras, jadi fidyah dibayarkan dalam bentuk beras, yang takarannya 1 mud. Namun, adalah   lebih baik jika beratnya dilebihkan berdasarkan firman Allah S.W.T, “…Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada   memberi fidyah), kalau kamu mengetahui” [TMQ al-Baqarah (2): 184].

Khatimah

Bagi wanita hamil dan menyusukan termasuk juga golongan-golongan lain seperti orang tua, musafir dan lain-lain, Allah telah memberi rukhsah   untuk meninggalkan puasa. Rasulullah S.A.W bersabda, “Sesungguhnya Allah suka dilaksanakan rukhsah (keringanan) yang diberikan olehNya seperti Allah membenci dilakukan maksiat kepadaNya” [HR Ahmad].

Walau bagaimanapun, keringanan yang diberikan bukanlah alasan untuk meninggalkan kewajipan yang dibebankan akibat daripada puasa yang ditinggalkan tersebut.

Rujukan:
· Fiqih Wanita, Syaikh Kamil Muhammad ‘Uwaidah
· Fikh Puasa Praktis, Muhammad Ramadhan al-Muhtasib
· http://syariahpublications.com/2007/10/03/ibu-menyusui-membayar-fidyah/, di akses pada 30 September 2012. [F.U. Bil: 49 Nov 2012]